Love Letter




Bismillah...
     Pukul 7.30 pagi. Loceng sudah lama berbunyi.Kedengaran suara guru disiplin menjerit nyaring melalui mikrofon memanggil pelajar-pelajar beratur di dataran perhimpunan. Memang satu kampung dengar dan penduduk kampung sudah biasa dengan keadaan ini. Sudah lali bak kata pepatah,alah bisa tegal biasa.
   Aku masih di rumah,tengah memakai kasut kemudian sorong basikal kaler merah kesayangan aku lalu aku pecut sebab sudah lewat. Sampai di sekolah,aku parking basikal aku elok-elok dan senyap-senyap tapi kantoi juga dengan pengawas yang bertugas jaga pintu pagar sekolah. Ah,pujaan hati aku rupanya. Ya,dialah pengawas yang bertugas hari itu macam biasa. Tidak payah susah-susah bagi nama kerana dia tahu dan kenal sangat nama aku sebab hari-hari lewat. Aku tersengih-sengih tengok dia catat nama aku. Baik aku datang lewat hari-hari macam ni,manalah tahu kalau-kalau dia asyik catat nama aku atas kertas sampai ‘tercatat’ dan melekat pula di hati..hehe. kalau aku lambat lagi mungkin silap-silap aku akan dapat surat cinta darinya dan kalau lambat lagi,lagi dan lagi akan dapat pula surat ‘cinta’ atau saman dari sekolah.
   Sedang aku asyik menyengih,tiba-tiba Cikgu Misai yang macam jeneral perang datang dengan sahabat baiknya iaitu rotan yang macam pedang samurai pada Zaman Edo. Sekali rotan itu beraksi, kalau nasib tak baik,3 hari tak hilang bisanya. Malang tidak berbau, rotan itu hinggap jua akhirnya di tangan aku,Zass.. tapi disebabkan aku budak kelas pandai, tak kuat mana pun rotan,tak rasa apa pun,drama saja lebih. Tapi kalau Taiko sekolah terutama dari kelas belakang, memang akan dirotan sekuat hati.  
   Entahlah,dari sekolah lagi sudah wujud sistem kasta. Tapi mungkin di masa hadapan, yang kena selalu kena rotan dan selalu buat cikgu naik darah sehingga kena darah tinggi ni lah yang aku rasa akan angkat tangan dan cium tangan cikgu kalau terserempak di tengah jalan berbanding anak murid yang selalu cikgu-cikgu puja sebab menaikkan statistik akademik sekolah. Kebanyakan ‘insan berjaya’ ini (bukan semua ya) akan lari walau nampak bayang-bayang cikgu pun. Entahlah, mungkin malu dengan prestasi hidup yang sekarang kerana zaman kegemilangan itu sudah pun berakhir seperti jatuhnya empayar Rom dalam buku teks sejarah SPM. Siapalah kita untuk meramal masa depan orang bak kata orang lama-lama, tuah ayam nampak di kaki,tuah manusia siapa yang tahu.
  Selepas rotan,Cikgu Misai membebaskan ‘tawanannya’. Aku berasa sedikit menyesal kerana gagal mendisiplinkan diri tapi sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya..Oh ya,Cikgu Misai adalah Guru Penolong Kanan dan yang tengah berleter di depan perhimpunan ini adalah cikgu disiplin. Walaupun garang sikit dari singa sebab singa garang banyak,cikgu disiplin ini kelakar orangnya. Aku suka kalau beliau yang berucap di perhimpunan. Aku beratur di belakang sekali. Walaupun bingit dengan frekuensi suaranya yang tinggi,aku cuba memasang telinga untuk dengar apa yang beliau mahu bebel pada hari ini.
    Beliau mengumumkan yang beliau berjaya merampas sepucuk surat cinta dan membacakan isi surat tersebut kepada satu sekolah. ‘Kepada abang yang dikasihi...’ sampai habis dibacanya isi surat tersebut. Sudah tentu nama si pengirim dan penerima biarlah rahsia. Seisi sekolah gegak gempita dengan ketawa dari makcik cleaner ,tukang kebun, pekerja Am, guru-guru sehinggalah murid-murid yang mendengar isi surat cinta tersebut dibacakan. Pasti penulisnya menyorok di tandas pada masa tu tapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur lalu makan sajalah bubur itu. Surat tercinta sudah dibocorkan bukan sahaja kepada cik abang tetapi kepada satu sekolah.
       15 minit kemudian,perhimpunan diakhiri dengan doa dan selawat. Kemudian Kami masuk ke kelas dan rutin berjalan seperti biasa. Tamat.

P/S: 5 tahun kemudian,aku dapat tahu yang lirik lagu-lagu Adele yang menjadi big hit sekarang adalah daripada surat-surat cinta Adele kepada bekas kekasihnya yang tidak kesampaian dan tersimpan kemas dalam kotak.  
Surat cinta yang terbaik sepanjang zaman adalah Al-Quran,surat cinta dari-Nya.

Comments

Popular Posts