APA CERITA HIDUP AKU SELEPAS UPSR


    Keputusan UPSR sudah diumumkan 2 hari lepas. Cuma 1.11% daripada 440,782 calon yang dapat semua A. Ramai yang menangis hiba bila dapat result yang tidak seperti yang diharapkan. 10 yang lalu, aku pun macam tu.

Aku UPSR masa tahun 2006. Aku datang daripada keluarga yang educated. Sepupu- sepupu aku pandai-pandai. Tak kenal huruf lain selain A setiap kali exam. Aku selalu kena marah dengan parents dan dibandingkan dengan cousins sebab aku MALAS BELAJAR. Aku suka tengok TV cerita cina daripada tengok soalan matematik dan sains dalam buku latihan.

Subjek yang paling aku BENCI adalah sains sebab aku selalu kena marah dengan cikgu dan dapat markah terendah dalam kelas. Aku juga selalu jadi mangsa tembakan bertubi-tubi soalan daripada cikgu sains yang suka tanya tu. Contohnya..

“Matahari terbit dari arah mana?” tanya cikgu kepada aku.

“Barat, cikgu..” jawab aku. Dan cikgu suruh aku banyak-banyak bertaubat lepas jawab soalan itu.

2 bulan sebelum UPSR, barulah aku pulun study sebab mak aku cakap “Kalau dapat 5 A kita pergi Beijing”. Sebab tu aku nak 5 A.  Akhirnya UPSR pun tiba dan aku jawab dengan penuh tak yakin sebab persediaan kurang. 2 bulan kemudian, result UPSR diumumkan dan aku cuma dapat 3A 2B. Bilangan A aku tak sampai 5 jari pun dan tipulah kalau perasaan kecewa tu sikit pun tak ada. Walaupun aku bersyukur dan agak berpuas hati dengan result itu tapi aku tak boleh puaskan hati semua orang.

Aku dah kecewakan parents aku. Cousins aku semua dapat 5A. Makciks dan pakciks aku yang kepoci mula menyibuk, mengumpat dan mengutuk aku yang tak dapat  semua A ini. Aku berasa rendah diri dan cuma mampu menangis dalam hati je. Tak cool nangis depan-depan. Impian aku juga sudah terbang sampai ke Beijing tinggalkan ku perlahan-lahan ku terima.

Ramai kawan-kawan dan sepupu-sepupu aku ramai dapat sekolah elit, sekolah agama, MRSM dan SBP manakala aku pula dapat surat penolakan untuk masuk sekolah agama elit dan tersadai di sekolah harian biasa yang berdekatan dengan rumah aku. Walaupun rasa tak layak, tapi keinginan untuk masuk sekolah yang elok-elok macam SBP, MRSM adalah sikit dalam hati ini.

Semasa aku di tingkatan 1, aku banyak main juga, tak insaf-insaf lagi. Aku join popular clique. Suka melawa, pakai bedak tebal-tebal pergi sekolah. Ada ramai peminat dan jadi buaya betina. Aku tak pernah serius dan couple macam geng aku yang lain tapi hati dan perasaan orang yang minat aku tu aku buat macam game. Walaupun aku dapat banyak perhatian dan dikelilingi ramai manusia, tapi aku rasa sedikit kosong dan sunyi. Apa yang aku nak dan cari dalam hidup ni sebenarnya.

Doa orang yang teraniaya ni makbul. Mungkin ini doa orang yang pernah kena game dengan aku. Muka aku burn teruk sebab banyak berjemur tepi pantai macam ikan kering. Tak tahu kenapa, aku suka view pantai semasa tengah hari. Cantik sangat tengok air laut biru yang berlapis-lapis dan bersinar dipanah matahari. Tak pakai sunblock langsung dan kulit muka aku jadi tak sekata.

Bukan ambil masa sehari dua tapi setahun untuk muka ok balik. Dalam masa setahun, aku diuji bila ramai pakwe lari, kawan-kawan lari sebab dah tak cantik macam dulu, game over. Mula-mula memang sedih tapi aku akhirnya tak berapa nak kisah dah sebab Allah tarik kecantikan yang pernah aku ada dan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Dulu muka aku licin bak telur rebus dikupas tapi sekarang dah macam kertas pasir. Tapi hati aku lebih tenang aman sentosa berbanding dulu yang selalu lapar dan dahagakan perhatian daripada manusia. Susah nak tenang dan selalu rasa insecure bila kita selalu nak nampak perfect di mata orang, nak lebih dari orang dan nak orang puji-puji. Betul kata orang, harapan yang paling memedihkan apabila kita berharap kepada manusia.

Masa itulah Allah ketuk dan buka pintu hati aku. Aku mula terfikir fasal masa depan, tanggungjawab dan harapan parents aku. Aku mula dekatkan diri dengan Allah, Al-Quran dan dikurniakan kawan-kawan yang baik dan terima aku seadanya. Aku mula fokus 110% pada pelajaran dan study sungguh-sungguh. Ramai yang terkejut dengan perubahan aku dan lagi super-duper terkejut bila result periksa aku mendadak naik dan nama aku tersenarai dalam top 3. Alhamdulillah.

Aku dapat 9A PMR. Terima Kasih Ya Allah. Serius aku tak sangka masa itu. Dipendekkan cerita, aku berjaya masuk SBP (Allah Maha Mendengar) dan keluar dari SBP dengan result SPM 7A 2B di tangan. Selepas tu masuk asasi, masuk U, dan sekarang dah nak grad, planning nak sambung master pula (Insya Allah) dan jauh lagi perjalanan.
Hari ini aku tersenyum sendiri bila teringat secebis kenangan di alam persekolahan dulu.
Kepada adik-adik yang tengah frust menonggek sebab result UPSR tempoh hari, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Bangkitlah dan hidup mesti diteruskan selagi boleh hidup. What done is done.  Bersiap sedia untuk melangkah ke alam sekolah menengah yang boleh tahan besar juga cabarannya. Kalau hanyut dan silap pilih kawan, habissss..

Walaupun UPSR je pun, PMR je pun, SPM je pun tapi buatlah yang terbaik selagi diberi peluang. Penuhkan agama, Ilmu, kemahiran dan pengalaman di dada sebanyak mungkin sebab semua tu penting untuk survive di masa depan dan masa sekarang yang mencabar. 

Comments

Popular Posts