Realiti Dunia Kerjaya Wartawan Pada Zaman ini



Sumber: Brotin biswas (Pexels)

Hari tu iaitu semalam ada tetamu istimewa daripada Karangkraf datang berkongsi ilmu dan pengalaman dengan budak-budak baru belajar termasuk aku.

Siapakah dia? Dia adalah Puan S (bukan nama sebenar), antara orang kuat Karangkraf. Menjadi novelis, wartawan majalah & surat khabar, editor, apa lagi? Dia dah rasa semua tu.

Katanya, kerjaya wartawan hari ni dah tak macam dulu-dulu.

Dulu-dulu, industri media bercetak ni sangat gah dan glamour. Masa tu tugasan pertama dia adalah siri Dari Fail Mahkamah. Jadi, hari-hari dia kena pergi naik turun mahkamah bukan sebab dia ada kes tapi dia yang cari kes untuk bahan tulisan-tulisan artikelnya.. Contohnya kes cerai, berebut anak, harta pusaka.

Dia pernah kena kejar dengan seorang lelaki di tengah-tengah pasar sebab 1 Malaysia tahu lelaki tu baru lepas bercerai menerusi artikel-artikel tulisannya di majalah.

Lepas dapat story, dia pun segera balik ke ofis. Dia berlari-lari naik tangga.. tak sabar nak kongsi cerita dengan member-member yang lain dan seterusnya menaip untuk rakyat Malaysia pula.

“Weh, kau apa cerita?”
“Dia datang tak interview?”
“Datuk tu jadi tak kahwin dengan artis tu?”

Kedengaran bunyi orang ketawa berdekah-dekah, terpekik-pekik, melaung-laung, bunyi tapak kaki orang naik-turun tangga dan tengah rushing.

Betapa meriahnya suasana di newsroom masa tu tapi sekarang tidak lagi, dah sunyi sepi sebab ramai staff berhenti kerja secara sukarela atau paksarela.

Sekarang berapa kerat je wartawan yang tinggal. Seorang wartawan kena cover 4 hingga 5 kerja. Dialah cameraman, dialah reporter, nak kena jaga social media lagi dan sebagainya.

Dulu, kalau ada apa-apa majlis ke acara ke sampai 10 orang staff (sebab ada camera crew) dihantar untuk dapatkan berita. Naik van ramai-ramai. Sekarang seorang je pergi, naik motor pikul kamera kat belakang.

Dulu, surat khabar dan majalah bercetak terlajak laris di pasaran seperti pisang goreng cheese sekarang tidak lagi, malah merosot dengan drastiknya.

Banyak syarikat majalah bercetak dah ‘bungkus’ dan tutup. Mungkin sebab kurang permintaan dan tak dapat tanggung kos operasi. Contohnya di Karangkraf, kalau dulu ada 29 majalah bercetak, sekarang tinggal 15 yang masih beroperasi.

Kenapa jadi macam tu?

Ya, sebab internet lebih-lebih lagi media sosial. Kehadirannya sangat dirasai oleh industri ini. Big player dalam industri macam Karangkraf pun rasa terancam apatah lagi kalau yang baru nak up.

Sebabnya… maklumat sekarang semua ada di hujung jari dan percuma. Bak kata model iklan rejoice, “Guna jari pun boleh…”. Apa-apa hal yang berlaku di Amerika, dalam masa 2 saat je rakyat Malaysia dah dapat berita.

Zaman sekarang sesiapapun boleh buat keluar news, siapa-siapa pun boleh mengaku jadi wartawan. Contohnya, kalau ada accident dan kau rakam kejadian tu lepas tu memuat naik di media sosial, itu adalah sejenis berita sebenarnya kata Puan S.

Cuma kesahihan maklumat, kejujuran dan integriti penyampai berita tu macam mana. Terpulang kepada pengguna media sosial untuk menapis dan percaya sesuatu berita. Kalau dalam media lama macam surat khabar, majalah, TV, lepas sahih sesuatu berita tu baru boleh terbit atau tersiar.

Ramai budak-budak kos media tepuk dahi, dan mengeluh selepas dengar cerita daripada Puan S. Siap ada yang kata tersalah ambil kos.

Kata Puan S, jangan risau, ada harapan lagi. Kerja kewartawanan bukanlah pupus terus, berlaku transformasi je.

Kebanyakan media bercetak sudah beralih ke dalam bentuk digital. Skop kerja wartawan pun dah berubah, dulu di dada-dada akhbar sekarang kena menulis berita di laman atau portal pula. Dan kena bekerja dan bergerak pantas..

Kata Puan S, kalau orang nak minta kerja wartawan hari ni, sebagai bos dia dah tak tengok resume bagai tapi dia tengok kau punya media sosial.  Contohnya berapa ramai follower kau, tahu guna instagram tak, tulisan-tulisan kau di Facebook macam mana, sedap dibaca ke tak dan sebagainya. 

Comments

Popular Posts