Beauty & The Brain di Publika


Gambar hiasan.Kredit foto: Pixabay

Ahad. Aku habiskan separuh cuti hujung minggu di Publika. Aku pergi sana naik MRT dan turun di stesen Semantan Manulife. Lepas tu aku naik MRT feeder bus nombor T821 yang tunggu di pintu B stesen.

Bas yang dinaiki mula bergerak melewati bangunan-bangunan ofis yang gah dan kawasan perumahan elit di pinggir bandar metropolitan Kuala Lumpur . Kadang-kadang aku rasa seram bila bas tu turun-naik-turun bukit. Boleh tahan laju.

Melalui tingkap bas, aku tengok adalah dalam tiga buah rumah besar yang terbiar dimamah pokok hutan macam dalam filem seram.  Dan ada juga rumah-rumah yang cantik dan moden, buatkan aku teringat pada Anjung Seri, sebuah majalah yang pernah wujud sekitar awal tahun 2000-an dan mak aku suka beli.

Entahlah, sejak era revolusi digital ni, majalah semakin terancam dan tak mustahil akan jadi artifak di muzium tahun 2100 nanti. Orang sekarang lebih suka baca kat tablet atau skrin phone. Bak kata model iklan syampu Rejoice, “Guna jari pun boleh…” untuk cari maklumat pasal maklumat semua di hujung jari.  

Sedang asyik mengelamun tepi tingkap, bas pun sampai di destinasi yang aku nak tuju. Masa masuk ke dalam bangunan Publika tu…

“Apa aku buat kat sini?” tanya aku kepada diri sendiri.

Publika ni sejenis shopping centre yang moden dan berkonsepkan art. Aku suka hiasan dalaman dia. Sebarang festival, kegiatan atau acara seni sangat dialu-alukan di sini. Butik-butik dan kedai-kedai pula branded dan ternama punya. Aku pun tak berani nak masuk, lalu pun dah rasa seriau.

Main reason aku datang situ sebab ada talks, book fest, pameran lukisan dan persembahan kugiran muzik dalam event Beauty & the Brain di Publika yang bermula jam 10 AM sampai 10 PM. Lain-lain dalam event tu adalah beauty exhibition, jual produk-produk kecantikan, baju-baju dan cookies.

Acara ni untuk meraikan para wanita sebenarnya.  Tapi separuh wanita dan lelaki pun diraikan juga dan boleh join.

Aku sebenarnya tengah cari bahan-bahan untuk bakal artikel aku. Salah satu cara untuk cari idea adalah dengan pergi events macam ni dan dengar talks.

Writing through Women’s Mind (Bella Zamri & Ashikin M)

Forum atau talks pertama hari tu dimulakan oleh dua orang penulis wanita yang sedang meningkat naik iaitu Bella dan Ash.

Bella menulis di wattpad dan mendapat 17 juta views di seluruh dunia. Karyanya di wattpad dah jadi buku dan pihak penerbitan cuba nak tembus pasaran di US. Tak silap aku tajuknya ‘The boy who lost his sight’.

Bella, pelajar tahun akhir kos dietetik di UiTM itu ceritalah yang dia menulis sejak umur 16 tahun lagi sebab sangat-sangat suka membaca. Dia biasanya menulis masa tengah malam. Siang pula dia belajar. Minat punya pasal, penat semua tolak tepi.

Ash pula penulis buku ‘Romantik yang sudah mati’ terbitan Roman Buku.  Dulu dia pernah belajar muzik di London. Ash suka travel dan banyak sangat cerita yang dia nak cerita. Dari dulu Ash nak jadi storyteller dan dia mendapat ilham dari nature.

Antara dua nasihat daripada penulis wanita ini adalah…

1.     Penulis tak boleh lari dari membaca. Baca, baca dan baca.
2.     Jangan fikir banyak sangat, tulis je. Tulis untuk diri sendiri dan enjoy your writing. Sayangilah karya anda sebelum harapkan orang lain suka. Yang lain-lain seperti peminat, dan wang ringgit akan datang kemudian dengan sendirinya.
3.     Be a scientist. Maksud Ash, saintis ni selalu cuba macam-macam kaedah untuk dapatkan result atau hasil yang sama. Samalah juga macam menulis, cuba benda baru setiap hari sampai dapat hasil yang sama. Teruskan eksperimen.

A man’s fight in women employment (Qi Razali)

Sepatutnya Qi yang bagi talk. Tapi Qi tak dapat datang dan penggantinya adalah Hafiz dan adiknya (sorry sangat, lupa nama apa).

Qi travel ke Argentina dan tengok seni mengait benang kat sana lalu dapat idea untuk buat kat Malaysia pula. Kata Hafiz, Qi kalau travel melalui rancangan TV selalu bawa balik bahan-bahan seni dari negara yang dilawatinya.

Hafiz & the brother jumpa Qi di konsert band OAG dan Qi ajak dua beradik tu bergabung maka tertubuhlah Yarn Bombing MY. 

Yarn bombing ni merupakan seni mengait benang warna-warni yang dah lama ada kat negara lain tapi baru lagi di negara kita.

Haa, ni la contoh yarn bombing tu. Kredit foto: Denise Litchfield Pixabay

Seni kait benang ni semakin terpinggir. Jadi Qi nak bawa dari konsep tradisional ke arah urban. Bukan setakat jadi alas TV saja.

“Cabarannya adalah perkara ini agak baru bagi masyarakat kita dan agak sukar diterima. Kami pernah ditanya kenapa pokok pun dipakaikan baju?”

“Ramai lelaki biasanya tak nak involve dalam benda ni sebab ingat mengait benang ni kerja orang perempuan. So ada jugalah member-member terkejut tengok aktiviti kami.”kata Hafiz lagi.

Terbaru mereka dapat projek daripada Coffee Bean untuk menghias restoran dan café tersebut dengan sentuhan seni mereka.


Activism & Travelling: “Masih ada yang tertinggal di antara kita.” (NMO dan Khairul Jamain).

Travel dan backpacker sudah menjadi trend di masa kini. Tapi apa makna di sebalik semua tu? NMO atau Nur Munirah Othman dan Khairul Jamain atau KJ berkongsi pandangan dan cerita pengalaman mereka.

Kita mulakan dengan cerita KJ dulu. Dulu dia bekerja sebagai property management executive. Tapi dia dah tak ada hati nak kerja dalam sektor korporat dan pakai smart-smart. Jadi dia resign dan mengambil keputusan untuk mengembara.

Keputusan itu mula-mula mendapat tentangan keluarga sebab dia satu-satunya anak lelaki yang berguna dan kerja elok sikit. Tapi akhirnya mak dia setuju dengan syarat dia balik Malaysia hidup-hidup dan tak minta duit orang.

Sedar-sedar je dah dua tahun KJ mengembara ke Sabah-Thailland- Vietnam-Kemboja-Jepun-Korea. Berbulan-bulan jugalah dia merantau. Dia belajar nilai-nilai agama, politik, ekonomi dan budaya sesuatu tempat di jalanan. Pengalaman dan momen-momen ini dia nak abadikan dalam sebuah buku.

Ceritanya lagi, semasa di Kemboja dia duduk di tepi pantai dan ada seorang wanita tempatan di sana minta 5 dollar dengan KJ untuk sekolahkan anak-anak dia. Purata pendapatan rakyat di sana kira-kira 2 dollar je sehari, 1 dollar untuk anak-anak sekolah dan mereka susah sangat nak makan.

Kalau di Malaysia, soalan paling susah nak jawab ialah ‘Nak makan kat mana?’ bagi mereka di Kemboja pula ialah ‘Nak makan apa?’. Allahu…

Dan antara pengalaman yang paling berbekas di hatinya masa merantau tiga bulan di Sabah dan hitchhiking.  Dia mahu menulis buku khas untuk orang-orang Sabah.

Semasa belajar, dia pernah terlibat dalam demonstrasi sehingga bermalam di lokap. Masa tu, dia cuba nak lari tapi ada seorang polis bentes kakinya sehingga jatuh gedebuk . Dia kata orang muda dan bodoh berpisah tiada. Darah muda tengah panas menggelegak la katakan. Selain tu, dia juga pernah jadi aktivis alam sekitar dan buku jalanan.

Nasihatnya kepada anak-anak muda, “Umur 18-25 kau kena tau apa nak buat dalam hidup, umur 30-45 kena sustainlah.”

“Kejayaan seseorang bagi aku bukanlah besarnya kereta atau rumahnya tapi apa yang dia sumbangkan kepada masyarakat.”

“Aku juga nak menulis buku, kalau tak menulis nanti tenggelam dalam 7 billion lebih umat manusia ni.”katanya lagi.

NMO  yang seorang aktivis dan penulis sepenuh masa pun bercerita pengalamannya…

Dulu dia belajar kejururawatan dan lepas habis belajar baru dia join aktivisme ni. Dia join Nursing Beyond Borders, pergi Kemboja dan dia rasa tersentuh melihat kehidupan di sana yang serba daif.

Balik Malaysia, dia kumpul bantuan makanan untuk dihantar ke Kemboja. Dia juga pergi ke Tanzania, salah satu republik di Afrika untuk terlibat projek bekalan air bersih di sana. Apa yang menyedihkan, buruh untuk buat water tank tu adalah wanita.

“Suami kakak mana?” tanya NMO dalam bahasa Afrika.
“Suami pergi bandar. “jawab wanita itu.

Cerita NMO lagi, wanita-wanita di Tanzania tu yang menjadi ketua keluarga dan buat semua kerja. Dari urusan rumah tangga hingga cari makan. Suami goyang kaki lepak kat kedai (Alahai, jantan macam ni ada di mana-mana waima di Afrika)

 “Bila buat baik ni rasa ketagih tau, rasa nak buat lagi.”
“Bila pergi ke negara orang sendirian, pastikan kita ada contact orang yang boleh dipercayai di sana.” katanya.

Menurutnya lagi, kalau nak ikhlas jadi aktivis wajib jauhi 3P ini iaitu Prestij, Publisiti dan Pengaruh. Barulah dapat satu perasaan dan kepuasan yang tak boleh nak gambarkan.

“ Jangan rasa nak dihormati sebab nanti sampai bila-bila pun orang tak hormat kita.”katanya lagi sekali gus mengakhiri forum tersebut.


Comments

Popular Posts