Apa kena dengan segelintir generasi muda pada hari ini?




Bila buka media sosial, tak sampai 15 minit mesti aku tutup balik. Banyak betul negative vibes dalam tu dan rukun negara kelima, kesopanan dan kesusilaan semakin terhakis dalam diri netizen Malaysia sekarang ni.

Aku buka media sosial biasanya untuk baca news dan bila skrol-skrol bawah untuk baca komen dan pendapat orang ramai, aku rasa sedikit sedih dan terkilan. Ada tukang komen yang matang, beri pendapat yang bernas dan rasional.

Tapi ramai juga yang beri komen macam nak minta gaduh, emo dan membabikan orang. Bila tak sependapat dan orang memberi pendapat yang lain sikit, mulalah label orang macai parti politik tu, macai parti politik ni. Tak mahu raikan pendapat yang berbeza. 

Carutan, makian dan percakapan yang sia-sia dah menjadi kebiasaan. Kononnya ‘cool’ la tu. Malah ada yang sanggup buat personal attack. Misalnya, menghina fizikal seseorang seperti gemuklah, hitamlah dan lain-lain.

Statistik menunjukkan sebahagian besar rakyat negara ini adalah millennials atau gen Y dan mereka merupakan pengguna terbesar internet. Aku sebahagian daripada statistik itu. Tapi tidak bermakna aku setuju dan aminkan segala apa yang generasi aku katakan atau buat. Kalau betul dan logik, aku setuju tapi kalau salah, aku bangkang dan cuba betulkan la.

Aku pun bukan betul sangat dan kalau aku yang salah, aku cuba terima feedback, kritik atau komen yang membina, bukan yang meruntuhkan atau emo-emo. Semua orang tak sempurna dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Aku perhatikan, orang-orang muda ini sangat berani. Jiwa muda la katakan. Tengah berdarah panas. 

Mereka berani bersuara dan menyatakan rasa ketidakpuasan hati, ketidakadilan sistem hidup ini dan begitu lantang mengkritik kerajaan. Tak kira kerajaan baru atau lama. Tapi setakat berani di alam maya je la. Kalau suruh cakap depan-depan orang ramai dan pemimpin negara, majoriti akan senyap menikus dan menyorok belakang keyboard termasuk aku.

Kecuali seorang gadis. 

Tiga tahun lepas, ada seorang gadis muda bernama Zahra berucap dan membaca skrip hidupnya depan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi menyuarakan isi hati dan kesusahan hidup yang dialaminya seperti kena bayar rm 500 untuk sewa rumah (penghuni 8 orang), harga rumah di KL di Melwati dan Ampang mahal dan rasa dirinya seperti pengemis walaupun baru keluar Universiti dan ada ijazah.

Video ucapannya menjadi tular di media sosial, mendapat likes, shares yang banyak dan menjadi perdebatan hangat. Rata-rata yang menyokongnya adalah anak-anak muda dan beranggapan Zahra adalah heroin kerana masalah Zahra adalah masalah mereka juga. Ramai yang kagum dengannya termasuk aku. Cuma aku kagum dengan keberaniannya, bukan isi skrip ucapannya.

Bukan semua orang setuju dengan Zahra.

Kebanyakan yang tidak setuju ni orang-orang yang pernah melalui apa yang Zahra rasa dan mereka survive dengan cara mereka sendiri misalnya berjimat-cermat, bekerja bukan kerana gaji semata-mata tapi untuk timba pengalaman dan pengetahuan, cari pendapatan lebih dengan berniaga ke, invest dan buat saving. Bukan dengan cara menceceh nasib diri dan minta kerajaan buat itu ini untuk senangkan pencapaian material diri.

Mereka faham yang kehidupan selepas universiti memang susah dan itu normal kepada semua orang kecuali anak-anak orang kaya dan tiada siapa yang mampu terlepas dari realiti. Mereka mula dari bawah, berusaha dan mendaki satu demi satu anak tangga dalam karier masing-masing sehingga boleh hidup dengan selesa. Tak ramai yang terus beli rumah di kawasan elit selepas baru 2 tahun keluar U.

“Ask not what your country can do for you; ask what you can do for your country.”― John F. Kennedy

Satu lagi, aku cukup meluat dengan orang yang acah-acah nak lari  keluar dari Malaysia hanya sebab kerajaan itu ini. Malaysia bukan kerajaan punya dan kerajaan tu cuma organisasi yang mentadbir negara dan pergilah ceruk negara mana pun, tak ada kerajaan yang sempurna. Orang macam ni patut try duduk di Myanmar, selatan Thai, Sudan atau Syria baru rasa bersyukur dan tahu appreciate agaknya. 

Di saat orang-orang luar datang ke Malaysia bagi mencari peluang lebih baik dan berasa beruntungnya kita, kita sibuk mencerca tanah air kita sendiri. 

Berdasarkan pembacaan, aku tengok ramai anak-anak rantau dari Malaysia yang meluahkan rasa rindu pada Malaysia. Walaupun hujan salji di negara orang, hujan lebat di negara sendiri, lagi best duduk negeri sendiri. 

Ramai sebenarnya anak Malaysia yang hebat-hebat, mencipta nama di pentas dunia dan memberi inspirasi. Sadly, cerita-cerita mereka tenggelam, tidak begitu popular dan orang kita lebih suka baca cerita-cerita macam awek makan cendol, artis tu kahwin dengan lelaki muda, Dato tu bina istana dan gemar membesarkan isu-isu remeh. Lepas tu komplen kenapa Malaysia tak maju-maju. 

Zaman internet ni senang je nak popular. Cuma nak publisiti murahan atau bermaruah tinggi? Kalau publisiti murahan cukup dengan hanya buat dan tulis benda-benda bangang. Bila viral dan kena kecam secara berjemaah, nanti popular la. Entahlah, populariti ni sesuatu yang bersifat sementara. Nanti lama-lama orang lupa. So, buat apa kejar sesuatu yang singkat?

Aku faham, kita orang muda mahukan recognition di atas usaha, kerja-kerja kita dan nak nampak berjaya pada pandangan masyarakat. Tapi ada seorang makcik cakap, "Bila umur dah meningkat, semua tu dah tak bermakna apa-apa. Screw fame!"

Zaman awal-awal umur 20-an ni sebenarnya masa kita untuk bereksperimen. Masa ni la nak tahu kita minat apa, tak suka apa dengan cara bekerja dan cari natural strength. Bukan masa untuk berjaya lagi. Menurut kajian, rata-rata insan yang berjaya ni masa umur 40 tahun ke atas. Mungkin sebab masa tu dah matang dan banyak pengalaman. Itu umur paling produktif.

Tapi kenapa ramai yang tak sabar? Mungkin faktor media sosial. Media sosial kan tempat orang selalunya show off kesenangan dan kebahagiaan hidup masing-masing. Pernah tak rasa semacam bila hari-hari tengok orang tayang kereta besar, slip gaji besar, rumah besar dan makan besar di fancy restoran?

Bukan tak nak happy untuk orang lain, tapi kadang-kadang kita pun teringin nak happy seperti yang terpapar dalam media sosial tu kan? Tapi realiti hidup sebenarnya kita tak tahu.

Tak apalah, aku pun cuba belajar happy untuk orang lain seikhlas mungkin. Kalau tak kuat nak tengok, aku off je media sosial sebab aku pun bukan malaikat.

Tapi aku tersedar sesuatu, kejayaan orang lain bukan kegagalan kita. Nasib, rezeki dan jalan hidup setiap orang tak sama. Tuhan cipta kita sama hebat tapi tak serupa. Setiap orang ada timeline masing-masing. Ada yang muda-muda lagi dah berjaya, ada yang dah umur senja pun masih belum terlewat untuk meniti kejayaan contohnya mendiang Atuk KFC, Colonel Sanders.


Bagi aku, umur cuma digit. Yang penting, apa ada dalam kepala seseorang itu dan how matured you are. 

Comments

Popular Posts